Laporan : iFSC 2018


 Laporan Program International Future Scientists Conference 2018


Pada minggu yang lalu, Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (PPPn, UKM) telah mengadakan International Future Scientists Conference (iFSC) bagi tahun 2018. Program tersebut berlangsung selama tiga hari, dari hari Selasa, 24 Julai hingga hari Khamis, 26 Julai dan disertai oleh 30 buah kumpulan dari 8 buah sekolah yang berbeza.

Objektif program tersebut adalah untuk meningkatkan potensi di kalangan penyelidik muda dan mengembangkan bakat, kreativiti dan kebolehan berfikir pelajar dalam meneroka perkara baharu yang berkaitan dengan bidang sains.

Pada pagi hari pertama, sesi pendaftaran dan penyediaan gerai pameran bagi para peserta dijalankan. Gerai-gerai tersebut telah dihias dengan kreatif untuk menarik minat orang ramai. Setelah selesai, mereka dibenarkan untuk berehat dan bersedia untuk majlis pembukaan yang bermula pada pukul 2.00 petang. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Daro’ Ir. Dr. Mohd. Marzuki bin Mustafa, yang merupakan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau telah memberikan kata-kata semangan kepada peserta. Seterusnya, pelajar PPPn membuat persembahan koir dan mini orkestra. Pada pukul 3.40 petang, majlis tersebut telah pun tamat.

Keesokan harinya, terdapat sesi pembentangan dan penilaian terhadap para peserta pada waktu bagi. Sesi ini merupakan perkara kemuncak bagi program ini. Mereka semua berlatih dan membuat persiapan untuk pembentangan, dari pagi sehingga waktu makan tengahari. Semua peserta berusaha untuk mempersembahkan kajian mereka dengan baik dengan harapan dapat memeperoleh pingat emas. Penilaian tersebut telah dilakukan oleh beberapa orang pensyarah UKM.

Pada sebelah petang, sebuah bengkel telah diadakan bagi para peserta dan pelajar tahap 1 PPPn. Bengkel tersebut menyampaikan tentang ciri-ciri seorang penyelidik yang berjaya. Bengkel tersebut sedikit sebanyak memberi pencerahan kepada peserta dan pelajar bagaimana caranya ingin menjadi seorang penyelidik yang berjaya. Setelah tamat bengkel, peserta-peserta disediakan minum petang dan dihiburkan dengan persembahan nyanyian yang dibuat oleh peserta yang menawarkan diri.

Pada hari terakhir, para peserta disediakan dengan satu lagi bengkel yang telah disampaikan sendiri oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Noriah Mohd Ishak, pengarah PPPn. Bengkel tersebut menceritakan tentang proses-proses penyelidikan. Banyak perkara dan pengetahuan baharu yang telah diterima. Selepas tamat bengkel, kesemua peserta dan pelajar PPPn telah berkumpul di dalam auditorium untuk majlis penutup. Ucapan perasmian penutup telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Mohammad Kasim yang seterusnya menyampaikan hadiah kepada peserta-peserta.

Para peserta kelihatan berdebar sambil menanti nama mereka untuk dipanggil ke atas pentas. Antara anugerah-anugerah yang disediakan ialah pingat gangsa, perak, emas dan juga empat anugerah istimewa. Terdapat riak-riak wajah yang gembira dan juga sedih. Walau bagaimana pun, kesemua peserta menerima keputusan mereka dengan seadanya. Mereka berpuas hati dengan program ini kerana banyak kebaikan yang telah diperoleh, dan masa serta tenaga yang mereka gunakan terasa bermanfaat.

Antara kebaikan program iFSC ini ialah, dapat menyemai minat dan budaya mengkaji perkara baharu dalam kalangan pelajar. Di samping itu, program ini juga dapat menarik perhatian pelajar terhadap bidang sains. Program iFSC yang dianjurkan ini dianggap berkesan kerana para peserta dapat mempersembahkan kajian mereka kepada orang ramai dan berjaya menarik minat mereka, terutamanya pelajar.

Walaupun program ini kurang mendapat sambutan berbanding dengan tahun lepas, namun program ini sangat berhasil dan banyak memberi manfaat. Diharapkan agar lebih ramai lagi pelajar yang menyertai program iFSC pada masa depan.




Dilaporkan oleh,                                                                                      5 OGOS 2018.

   Nisa
………………………………
(KHAIRUNISA BINTI SHAMSHUL BAHAR)
Pelajar,
Pusat PERMATApintar Negara,
Universiti Kebangsaan Malaysia.                                                                                        







Comments

Popular posts from this blog

JAWAPAN : Latihan Pengukuhan - Rumusan (m/s 5)

BINA AYAT